Saya
dilantik sebagai ahli biasa bermula Februari 2002 melalui sesi temuduga yang
dijalankan oleh exco PSS Tingkatan Enam Atas, saya menjadi ahli biasa sehingga
Disember 2004. Sepanjang tempoh itu, saya bersama guru-guru PSS dan rakan
seperjuangan bekerja keras dalam merealisasikan impian bekas Pengetua Kanan SMK
Tendong Gred DG 54 iaitu Pn. Hjh. Wan Karimah Bt. Hj Wan Yaacob A.M.N. yang
mahu melihat PSS SMK Tendong berjaya dalam pertandingan peringkat negeri dan
kebangsaan.
Antara
kerja yang mengambil masa agak lama untuk dilaksanakan ialah perubahan kepada
sistem peminjaman manual kepada Sistem Pengautomasian Pusat Sumber Sekolah
(SPPSS). Sistem ini menggunakan “barcode” sepenuhnya kepada ahli dan buku-buku
yang hendak dipinjam. Ahli-ahli yang hendak meminjam buku akan menyerahkan kad
keahlian dan buku yang hendak dipinjam kepada kerani PSS atau Pengawas PSS
untuk diimbas dengan menggunakan alat pembaca barcode. Sistem OPAC juga diperkenalkan untuk kegunaan ahli-ahli
mencari buku melalui komputer. Sistem ini bukan mudah untuk kami laksanakan kerana
kesemua ahli PSS SMK Tendong terdiri daripada pelajar, guru, dan kakitangan
yang menghampiri jumlah 2000 orang. Bagi buku-buku di Unit Perpustakaan pula
melebihi 2000 buah. Ketika itu, kami perlu mengemaskini data-data keahlian dan
maklumat buku lama dan buku baharu. Buku lama dan rosak akan dilupuskan serta
direkod. Bagi menyediakan buku untuk peminjaman kepada ahli-ahli bukan satu
perkara yang mudah kerana perlu melalui banyak proses yang akan saya ringkaskan
di bahagian seterusnya.
Selain
itu, kekemasan dan keceriaan PSS dititik beratkan dengan menyusun atur kembali
bahan bacaan, peralatan, perabot dan lain-lain lagi. Unit Perpustakaan juga
mengamalkan konsep mesra pelanggan dengan menyediakan “tong buku selepas
dibaca” untuk kegunaan ahli meletakkan buku yang telah mereka baca ke dalam
tong tersebut tanpa perlu menyimpannya kembali. Konsep ini dilaksanakan kerana
setiap buku mempunyai pengkelasan dan mempunyai sub pengkelasan tersendiri
dikenali sebagai Sistem Pengkelasan Perpuluhan Dewey. Kebanyakan pelajar kurang
memahami sistem ini lalu meletakkan buku tersebut di tempat yang salah.
Pengawas PSS ( Unit Perpustakaan ) mempunyai pengetahuan mengenai pengkelasan
buku akan meletakkannya di tempat yang sepatutnya. Semua ini dilakukan sebagai
persediaan untuk menyertai pertandingan PSS di peringkat daerah, negeri dan
kebangsaan. Walaupun agak memenatkan tetapi kami berpuas hati kerana PSS SMK
Tendong berjaya memenangi pertandingan peringkat negeri dan mewakili negeri
Kelantan untuk pertandingan peringkat kebangsaan.